Friday, February 5, 2010

Peraturan Keluar-Masuk UiTM : Rancanglah Masa Anda

1. Semakin ramai yang kurang faham tentang peraturan keluar-masuk UiTM.

2. Sebagai sebuah universiti unggul yang memperjuangkan kepentingan Melayu dan bumiputera, UiTM hanya bertindak melindungi pelajar dan menjaga keselamatan pelajar.

3. Justeru pelajar tertakluk kepada peraturan keluar-masuk dan perlu patuh kepada ketetapan masa. Tak boleh keluar-masuk ikut suka hati sahaja.

4. Untuk siswa, anda hanya bebas keluar-masuk kampus sehingga jam 11.00 malam, dan bagi siswi waktu untuk mereka dihadkan sehingga jam 7.00 malam sahaja. Secara peribadi, sebagai seorang RS saya menyifatkan peraturan ini kena pada tempatnya.

5. Pihak UiTM tidak mahu pelajar terdedah kepada sebarang risiko di luar kampus.

6. Baru-baru ini datang seorang siswa yang mempunyai kereta meminta kebenaran untuk pulang ke Kuala Lumpur kira-kira jam 12.30 tengah malam. Lewat kan?

7. Bila ditanya mengapa nak balik lewat malam begini, katanya ibunya sakit dan tinggal seorang diri di rumah. Maka, dia perlu balik ke KL segera.

8. Saya manusia. Semua RS manusia. Saya juga seorang anak. Saya juga ada ibu bapa dan sayangkan ibu bapa dan keluarga saya. Simpati dengan “cerita” siswa itu, saya ingin berikan kebenaran kepadanya untuk pulang ke KL walaupun hari sudah jauh malam.

9. Untuk rekod, saya minta no telefon ibu siswa tersebut. Tanpa banyak soal, dia memberikannya. Bila saya hubungi dan tanya sama ada ibunya ada anak di UiTM Perak bernama ***** dan sejauh mana betul kisah “sakit” itu, wanita itu menjawab :
“minta maaf, saya tiada anak lelaki nama *****, anak saya hanya seorang itu pun usianya baru 5 tahun!”

10. Nyata sekali, saya ditipu. Lebih sedih saya sebagai RS ditipu di hadapan rumah saya sendiri. Apa perasaan anda jika anda di tempat saya?

11. Dengan senyuman dan lemah lembut saya bertanya siswa tadi, “betul ke tadi nombor ibu awak? Saya dah call katanya anak dia baru 5 tahun.”

12. Rupanya siswa itu tak sangka saya akan call nombor tersebut. Panik, pucat, gelabah terus rupanya.

13. Siswa tersebut minta maaf dari saya, dan mengaku berbohong kepada saya. Memang itu bukan nombor ibunya dan rupanya ibunya tidak sakit pun seperti yang diceritakan. Semua cerita itu hanya direka bagi mendapatkan simpati saya sebagai RS untuk memberikan kebenaran keluar kampus.

14. Tahukah anda menipu pegawai UiTM satu kesalahan tatatertib serius? Mengikut Perkara 46 Akta 174, pelajar boleh dikenakan hukuman minimum amaran dan maksimum dibuang dari UiTM. Saya ada pilihan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa UiTM, tetapi seperti saya nyatakan RS juga manusia.

15. Saya hanya berikan nasihat supaya pelajar itu tidak mengulangi kesilapan sama di masa hadapan. Sebagai RS, saya juga mahu mendidik pelajar menjadi manusia jujur dengan memberikan peluang untuk mereka sedar. Tindakan tatatertib bukan penyelesai semua masalah.

16. Kalau ikutkan, kesalahan siswa tadi memang serius. Cubaan menipu pegawai UiTM, memalsukan nombor telefon, dan lebih teruk lagi menipu mengatakan ibunya sakit di KL, seolah-olah mendoakan ibunya sakit walhal mungkin ibunya sihat walafiat di rumah.

17. Nasihat saya buat semua warga Dahlia 2, rancanglah masa dan kehidupan anda dengan jujur. Anda pelajar universiti, bukan anak-anak kecil lagi. Letakkan diri anda di tempat yang sepatutnya – at the level of university’s student.

18. Kalau pun terlalu banyak tugasan yang perlu disiapkan, tak cukup di kelas, di studio dan di tempat perbincangan dan perlu keluar kampus untuk sambung bersama rakan-rakan NR di luar, rancanglah masa. Ikut peraturan UiTM dengan waktu keluar-masuknya. Kalau sudah melewati jam 11 malam, lupakan hasrat untuk keluar dari kampus. Percayalah bahawa ESOK MASIH ADA UNTUK MU, Insya-ALLAH.

No comments:

Post a Comment