Tuesday, February 9, 2010

AWAS - PENIAGA MAKANAN DARI LUAR YANG TIDAK BERTAULIAH








1. Hampir setiap malam kami memerhatikan pasti ada gelibat si penjual atau penjaja makanan dari bilik ke bilik di Dahlia 2.

2. Menunya pelbagai, ada burger, ada nasi lemak, dan lain-lain menu mengikut permintaan dan cita rasa.

3. Dulu kami juga pelajar seperti anda. Kami faham bila rasa lapar menghambat perasaan di tengah-tengah malam. Si penjaja inilah yang kita nantikan.

4. Secara prinsipnya, kami tidak pernah menghalang si penjaja ini yang kami tahu mereka ini juga adalah pelajar kita (sesetengah mereka adalah rakan anda). Kami pernah memanggil mereka yang menjaja ini dan memberikan nasihat serta peringatan supaya tidak menjual bahan ‘terlarang’ di Dahlia 2.

5. Percayalah, kami sangat menitik beratkan “kesucian” Dahlia 2.

6. Namun prinsip kami mungkin berbeza dengan peraturan UiTM. Dari segi peraturan, apa yang dilakukan oleh si penjaja ini tidak dibenarkan.

7. Rasionalnya, pihak UiTM bimbang kalau-kalau terjadi keracunan makanan. Dari mana sumber makanan itu hendak dikesan?

8. Oleh itu kami nasihatkan agar anda semua berhati-hati memilih menu makanan tambahan anda. Sekiranya perlu, selidik dulu pembekal makanan tersebut. Ini memudahkan sekiranya berlaku perkara tak diingini. Lebih mudah kalau ada maklumat tentang si penjaja tadi.

9. Ibarat kata pepatah, kita beringat sebelum kena.

10. Namun seperti kami nyatakan tadi, pilihan di tangan anda dan kami hanya mampu menegur dan menasihatkan apa yang baik. Semoga apa yang baik pada pandangan kami adalah sesuatu yang baik juga untuk anda.

Monday, February 8, 2010

Lawatan RS Ke Blok Dahlia 2

1. Kami berkesempatan melawat dari bilik ke bilik di Dahlia 2 pada 4 dan 5 Februari 2010 bersama Saudara Abdul Ghani, Ketua Blok Dahlia 2.

2. Dari keseluruhan sesi lawatan saya sangat gembira kerana pada tinjauan kami di kesemua 4 aras kami tidak terjumpa dengan pelajar yang merokok secara free hand atau free head di Dahlia 2. Ini bermakna warga Dahlia 2 faham dan mematuhi permintaan kami sebagai RS. Lebih dari itu saya simpulkan bahawa warga Dahlia 2 memang mematuhi peraturan UiTM keseluruhannya.

3. Syabas dah tahniah buat anda semua!

4. Namun begitu sebagai RS, kami akan sentiasa memberi teguran dan nasihat sebagai satu usaha penambahbaikan. Kami rumuskan keperluan dalam masa terdekat :

i. Majoriti bilik tidak melengkapkan dan mempamerkan borang maklumat pelajar di dinding luar sebelah pintu masuk ke bilik; Beberapa bilik telah diminta mendapatkan borang tersebut dari pejabat Kolej Cempakasari dan melengkapkannya berserta gambar. Antara bilik yang diberi teguran khas ialah 102, 108, 302, 301 dan 308. Namun saya sedar banyak bilik lain juga sama halnya, cuma tuan punya bilik tiada untuk saya maklumkan. Harap ambil tindakan segera.
ii. Lampu hadapan bilik 112 terbakar dan perlu diganti; Saudara Rafie (AP116) selaku ketua bilik 112 telah diminta untuk laporkan pada pejabat kolej.
iii. Bilik bersawang; bilik 321 pada tinjauan kami bersih secara keseluruhannya; Cuma ada banyak sawang di bahagian bumbung bilik. Saudara Fakhrul (AP116) selaku ketua bilik akan memastikan ia dibersihkan bersama rakan sebilik yang lain.
iv. Bilik panas; Kami faham keadaan ini dan kami akui kebenarannya. Kami dimaklumkan ada pelajar yang membawa kipas tambahan sendiri tapi dirampas oleh pihak kolej. Untuk keselesaan pelajar, kami selaku RS merasakan kipas tambahan adalah satu keperluan. Kami tidak setuju jika pelajar membawa alatan elektrik lain seperti periuk nasi, hot plate dll tapi kipas – mungkin satu keperluan. Saya cadangkan agar warga Dahlia 2 membuat usul dan permohonan rasmi melalui JPK agar perkara ini dipanjangkan kepada pengurusan atasan kolej. Gunakan saluran yang ada untuk membantu anda. Selaku RS, kami akan sokong di mana termampu.


5. Kesempatan ini kami manfaatkan untuk memaklumkan sebuah bilik yang pada tinjauan kami sangat bersih dan kemas. Silalah beramai-ramai melawat bilik 317, di mana Saudara Mohd Aris (AC110) selaku ketua biliknya. Warga penghuni 317 Dahlia 2 membuktikan bilik siswa juga boleh menjadi bersih dan teratur. Pilihan di tangan kita. Kami selaku RS akan menjadikan bilik ini sebagai KPI kepada gerakan 5S Dahlia 2. Semoga kebersihan dan kekemasan ini dikekalkan.

6. Buat akhirnya, kami sekali lagi berpesan supaya warga Dahlia 2 sekalian menjaga keharmonian blok kita dan hidup saling hormat-menghormati. Patuh kepada peraturan kolej, fahami syarat dan tempoh waktu selepas jam 11.00 malam yang pernah kami jelaskan dahulu. Peliharalah keamanan yang ada di blok sekarang dan jangan rosakkan dengan anasir luar yang boleh menjejaskan kebahagian kita bersama. Renung-renungkan, terima kasih.

Friday, February 5, 2010

Peraturan Keluar-Masuk UiTM : Rancanglah Masa Anda

1. Semakin ramai yang kurang faham tentang peraturan keluar-masuk UiTM.

2. Sebagai sebuah universiti unggul yang memperjuangkan kepentingan Melayu dan bumiputera, UiTM hanya bertindak melindungi pelajar dan menjaga keselamatan pelajar.

3. Justeru pelajar tertakluk kepada peraturan keluar-masuk dan perlu patuh kepada ketetapan masa. Tak boleh keluar-masuk ikut suka hati sahaja.

4. Untuk siswa, anda hanya bebas keluar-masuk kampus sehingga jam 11.00 malam, dan bagi siswi waktu untuk mereka dihadkan sehingga jam 7.00 malam sahaja. Secara peribadi, sebagai seorang RS saya menyifatkan peraturan ini kena pada tempatnya.

5. Pihak UiTM tidak mahu pelajar terdedah kepada sebarang risiko di luar kampus.

6. Baru-baru ini datang seorang siswa yang mempunyai kereta meminta kebenaran untuk pulang ke Kuala Lumpur kira-kira jam 12.30 tengah malam. Lewat kan?

7. Bila ditanya mengapa nak balik lewat malam begini, katanya ibunya sakit dan tinggal seorang diri di rumah. Maka, dia perlu balik ke KL segera.

8. Saya manusia. Semua RS manusia. Saya juga seorang anak. Saya juga ada ibu bapa dan sayangkan ibu bapa dan keluarga saya. Simpati dengan “cerita” siswa itu, saya ingin berikan kebenaran kepadanya untuk pulang ke KL walaupun hari sudah jauh malam.

9. Untuk rekod, saya minta no telefon ibu siswa tersebut. Tanpa banyak soal, dia memberikannya. Bila saya hubungi dan tanya sama ada ibunya ada anak di UiTM Perak bernama ***** dan sejauh mana betul kisah “sakit” itu, wanita itu menjawab :
“minta maaf, saya tiada anak lelaki nama *****, anak saya hanya seorang itu pun usianya baru 5 tahun!”

10. Nyata sekali, saya ditipu. Lebih sedih saya sebagai RS ditipu di hadapan rumah saya sendiri. Apa perasaan anda jika anda di tempat saya?

11. Dengan senyuman dan lemah lembut saya bertanya siswa tadi, “betul ke tadi nombor ibu awak? Saya dah call katanya anak dia baru 5 tahun.”

12. Rupanya siswa itu tak sangka saya akan call nombor tersebut. Panik, pucat, gelabah terus rupanya.

13. Siswa tersebut minta maaf dari saya, dan mengaku berbohong kepada saya. Memang itu bukan nombor ibunya dan rupanya ibunya tidak sakit pun seperti yang diceritakan. Semua cerita itu hanya direka bagi mendapatkan simpati saya sebagai RS untuk memberikan kebenaran keluar kampus.

14. Tahukah anda menipu pegawai UiTM satu kesalahan tatatertib serius? Mengikut Perkara 46 Akta 174, pelajar boleh dikenakan hukuman minimum amaran dan maksimum dibuang dari UiTM. Saya ada pilihan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa UiTM, tetapi seperti saya nyatakan RS juga manusia.

15. Saya hanya berikan nasihat supaya pelajar itu tidak mengulangi kesilapan sama di masa hadapan. Sebagai RS, saya juga mahu mendidik pelajar menjadi manusia jujur dengan memberikan peluang untuk mereka sedar. Tindakan tatatertib bukan penyelesai semua masalah.

16. Kalau ikutkan, kesalahan siswa tadi memang serius. Cubaan menipu pegawai UiTM, memalsukan nombor telefon, dan lebih teruk lagi menipu mengatakan ibunya sakit di KL, seolah-olah mendoakan ibunya sakit walhal mungkin ibunya sihat walafiat di rumah.

17. Nasihat saya buat semua warga Dahlia 2, rancanglah masa dan kehidupan anda dengan jujur. Anda pelajar universiti, bukan anak-anak kecil lagi. Letakkan diri anda di tempat yang sepatutnya – at the level of university’s student.

18. Kalau pun terlalu banyak tugasan yang perlu disiapkan, tak cukup di kelas, di studio dan di tempat perbincangan dan perlu keluar kampus untuk sambung bersama rakan-rakan NR di luar, rancanglah masa. Ikut peraturan UiTM dengan waktu keluar-masuknya. Kalau sudah melewati jam 11 malam, lupakan hasrat untuk keluar dari kampus. Percayalah bahawa ESOK MASIH ADA UNTUK MU, Insya-ALLAH.