1. Setiap tahun tatkala Ramadhan menjelma, letupan mercun akan kedengaran dalam kampus. Lebih tepat lagi di asrama.
2. Tidak perlu dipersoalkan siapa yang membakar mercun di asrama kerana jawapan yang pasti ialah pelajar sendirilah yang membakarnya. Sebagai seorang yang pernah melalui zaman muda, zaman remaja, zaman menjadi pelajar, saya faham dan sedar keseronokan sebenar bermain mercun bukanlah datang dari sekuat mana bunyi mercun yang dibakar. Tetapi kesan dari letupan itu yang sebenarnya sangat mengujakan.
3. Bila mercun meletup, akan kedengaran jeritan penghuni blok dan rakan-rakan lain yang sahut-sahutan menghamburkan kata-kata makian, cacian, kutukan dan tak kurang juga dengan mereka yang sekadar mahu menjerit sebagai tindak balas. Sesetengahnya tak tahu pun apa yang dipekikkan tetapi tetap juga memekik kerana itulah tindak balas yang paling tepat pada ketika itu.
4. Kadang kala jeritan sahut menyahut itu melangkau dari blok sebelah atau dari blok yang letaknya agak jauh dari tempat mercun dibakar. Apa yang pasti, jeritan dan pekikan itu akan berterusan untuk beberapa ketika walau pun mercun yang meletup menghasilkan bunyi kurang dari satu saat!
5. Seronok. Memang seronok!
6. Terutama bagi mereka yang mencari keseronokan untuk mendengar kesan dan tindak balas dari kesan letupan mercun itu.
7. Kepada pelajar Dahlia 2, saya suami-isteri mengambil pendirian berkecuali dalam perkara ini. Kami selaku RS sama sekali tidak akan melarang pelajar dari membakar mercun tetapi juga tidak menggalakkan anda untuk membakar lebih banyak mercun.
8. Setakat ini selama kami berada di kediaman RS, bunyi letupan mercun yang berlaku bukanlah datang dari blok Dahlia 2. Secara jelas, itulah hakikatnya. Kami sentiasa berdoa kepada Allah SWT semoga pelajar Dahlia 2 cukup bijak untuk menilai keadaan. Mudah-mudahan betul telahan kami .
9. Akan tetapi bunyi letupan itu datangnya tak jauh dari blok Dahlia 2. Bukanlah sesuatu yang hakiki untuk kami menuduh secara tepat pula dari mana datangnya bunyi letupan mercun itu seolah-olah pelajar dari blok lain yang jahat dan pelajar Dahlia 2 sebaliknya. Tetapi sebagai RS dan sebagai sebahagian dari warga penghuni kampus, kami sebenarnya memerhati.
10. Di kesempatan ini saya selaku RS ingin membawa satu senario kepada pelajar yang suka membakar mercun. Ketahuilah bahawa perkara berikut berlaku :
i. Unit Keselamatan dengan anggotanya sentiasa memantau di blok asrama setiap kali tiba musim perayaan. Sudah banyak tangkapan dan rampasan yang dibuat sejak beberapa tahun lalu. Setiap tahun pasti operasi mereka berjaya dan saya yakin dan percaya kejayaan yang sama akan diperoleh tahun ini.
ii. Letupan mercun anda sangat mengganggu rakan-rakan yang memerlukan tumpuan pada waktu anda berseronok membakar mercun. Ada mereka yang sedang mengulangkaji pelajaran, berdiskusi, beribadat mahu pun yang sedang tidur. Tidak baik mengganggu ketenteraman orang lain.
iii. Kesan letupan mercun juga mengganggu keluarga RS terutama mereka yang mempunyai anak kecil. Ini bukan merujuk kepada kami selaku RS Dahlia 2 sahaja tetapi lihatlah di sekeliling anda. Ramai RS lain juga mempunyai anak-anak kecil yang memerlukan rehat atau tidur tanpa gangguan letupan mercun.
iv. Imej dan tanggapan yang tidak baik kepada RS blok tersebut bila mercun meletup dari blok asrama yang beliau bertanggungjawab. Pasti warga kerja UiTM yang lain, seperti pengawal, pekerja kebersihan, pekerja landskap, peniaga dan lain-lain lagi beranggapan RS blok tersebut tidak memantau pelajar mereka. Ini tanggapan negatif kepada RS. Malang sekali kepada RS yang tidak tahu menahu atau kena mengena dengan letupan mercun tapi terlibat sama terpalit imej yang tidak baik hanya kerana ada pelajar membakar mercun tidak kena pada masa, tempat dan keadaannya.
v. Lain-lain kesan yang logik untuk dikaitkan.
11. Itu antara kesan berantai (chain effect) yang berlaku bila ada pelajar membakar mercun. Saya suka untuk merujuk kepada perkara 10 (i) seperti di atas. Ketahuilah mana-mana pelajar yang ditangkap bermain, memiliki atau apa-apa keadaan yang boleh dikaitkan dengan mercun dalam operasi yang dijalankan akan dihadapkan ke perbicaraan tatatertib. Mengikut Perkara 46 Akta 174 sesuatu kesalahan tatatertib boleh dikenakan hukuman-hukuman seperti berikut :
a. Amaran
b. Denda tidak lebih dari RM200.00
c. Pengeksklusian daripada mana-mana daripada atau sebahagian dari premis institusi
d. Penggantungan daripada institusi tidak melebihi 2 semester
e. Pembuangan dari institusi
12. Sebagai pelajar UiTM, sebuah IPTA yang terbesar di Malaysia dan digelar siswa-siswi cerdik pandai yang menjadi harapan keluarga dan sanak saudara di kampung kami selaku RS ingin melontarkan satu persoalan. Supaya mereka yang terlibat nanti tidak sesal di kemudian hari. Berbaloikah jika disabitkan kesalahan dan dijatuhi mana-mana hukuman dari 11a – 11e seperti di atas hanya jika ditangkap membakar mercun?