Tuesday, November 24, 2009

Friday, September 18, 2009

Selamat Hari Raya Buat Semua Warga Dahlia 2


1. Kami RS Dahlia 2 mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir & Batin kepada semua warga Dahlia 2.

2. Semoga berbahagia dan bergembira di hari yang mulia ini.

3. Ikhlas dari kami sekeluarga, RS Dahlia 2.

Sunday, September 6, 2009

Letupan Mercun di Blok Asrama

1. Setiap tahun tatkala Ramadhan menjelma, letupan mercun akan kedengaran dalam kampus. Lebih tepat lagi di asrama.

2. Tidak perlu dipersoalkan siapa yang membakar mercun di asrama kerana jawapan yang pasti ialah pelajar sendirilah yang membakarnya. Sebagai seorang yang pernah melalui zaman muda, zaman remaja, zaman menjadi pelajar, saya faham dan sedar keseronokan sebenar bermain mercun bukanlah datang dari sekuat mana bunyi mercun yang dibakar. Tetapi kesan dari letupan itu yang sebenarnya sangat mengujakan.

3. Bila mercun meletup, akan kedengaran jeritan penghuni blok dan rakan-rakan lain yang sahut-sahutan menghamburkan kata-kata makian, cacian, kutukan dan tak kurang juga dengan mereka yang sekadar mahu menjerit sebagai tindak balas. Sesetengahnya tak tahu pun apa yang dipekikkan tetapi tetap juga memekik kerana itulah tindak balas yang paling tepat pada ketika itu.

4. Kadang kala jeritan sahut menyahut itu melangkau dari blok sebelah atau dari blok yang letaknya agak jauh dari tempat mercun dibakar. Apa yang pasti, jeritan dan pekikan itu akan berterusan untuk beberapa ketika walau pun mercun yang meletup menghasilkan bunyi kurang dari satu saat!

5. Seronok. Memang seronok!

6. Terutama bagi mereka yang mencari keseronokan untuk mendengar kesan dan tindak balas dari kesan letupan mercun itu.

7. Kepada pelajar Dahlia 2, saya suami-isteri mengambil pendirian berkecuali dalam perkara ini. Kami selaku RS sama sekali tidak akan melarang pelajar dari membakar mercun tetapi juga tidak menggalakkan anda untuk membakar lebih banyak mercun.

8. Setakat ini selama kami berada di kediaman RS, bunyi letupan mercun yang berlaku bukanlah datang dari blok Dahlia 2. Secara jelas, itulah hakikatnya. Kami sentiasa berdoa kepada Allah SWT semoga pelajar Dahlia 2 cukup bijak untuk menilai keadaan. Mudah-mudahan betul telahan kami .

9. Akan tetapi bunyi letupan itu datangnya tak jauh dari blok Dahlia 2. Bukanlah sesuatu yang hakiki untuk kami menuduh secara tepat pula dari mana datangnya bunyi letupan mercun itu seolah-olah pelajar dari blok lain yang jahat dan pelajar Dahlia 2 sebaliknya. Tetapi sebagai RS dan sebagai sebahagian dari warga penghuni kampus, kami sebenarnya memerhati.

10. Di kesempatan ini saya selaku RS ingin membawa satu senario kepada pelajar yang suka membakar mercun. Ketahuilah bahawa perkara berikut berlaku :

i. Unit Keselamatan dengan anggotanya sentiasa memantau di blok asrama setiap kali tiba musim perayaan. Sudah banyak tangkapan dan rampasan yang dibuat sejak beberapa tahun lalu. Setiap tahun pasti operasi mereka berjaya dan saya yakin dan percaya kejayaan yang sama akan diperoleh tahun ini.
ii. Letupan mercun anda sangat mengganggu rakan-rakan yang memerlukan tumpuan pada waktu anda berseronok membakar mercun. Ada mereka yang sedang mengulangkaji pelajaran, berdiskusi, beribadat mahu pun yang sedang tidur. Tidak baik mengganggu ketenteraman orang lain.
iii. Kesan letupan mercun juga mengganggu keluarga RS terutama mereka yang mempunyai anak kecil. Ini bukan merujuk kepada kami selaku RS Dahlia 2 sahaja tetapi lihatlah di sekeliling anda. Ramai RS lain juga mempunyai anak-anak kecil yang memerlukan rehat atau tidur tanpa gangguan letupan mercun.
iv. Imej dan tanggapan yang tidak baik kepada RS blok tersebut bila mercun meletup dari blok asrama yang beliau bertanggungjawab. Pasti warga kerja UiTM yang lain, seperti pengawal, pekerja kebersihan, pekerja landskap, peniaga dan lain-lain lagi beranggapan RS blok tersebut tidak memantau pelajar mereka. Ini tanggapan negatif kepada RS. Malang sekali kepada RS yang tidak tahu menahu atau kena mengena dengan letupan mercun tapi terlibat sama terpalit imej yang tidak baik hanya kerana ada pelajar membakar mercun tidak kena pada masa, tempat dan keadaannya.
v. Lain-lain kesan yang logik untuk dikaitkan.


11. Itu antara kesan berantai (chain effect) yang berlaku bila ada pelajar membakar mercun. Saya suka untuk merujuk kepada perkara 10 (i) seperti di atas. Ketahuilah mana-mana pelajar yang ditangkap bermain, memiliki atau apa-apa keadaan yang boleh dikaitkan dengan mercun dalam operasi yang dijalankan akan dihadapkan ke perbicaraan tatatertib. Mengikut Perkara 46 Akta 174 sesuatu kesalahan tatatertib boleh dikenakan hukuman-hukuman seperti berikut :
a. Amaran
b. Denda tidak lebih dari RM200.00
c. Pengeksklusian daripada mana-mana daripada atau sebahagian dari premis institusi
d. Penggantungan daripada institusi tidak melebihi 2 semester
e. Pembuangan dari institusi

12. Sebagai pelajar UiTM, sebuah IPTA yang terbesar di Malaysia dan digelar siswa-siswi cerdik pandai yang menjadi harapan keluarga dan sanak saudara di kampung kami selaku RS ingin melontarkan satu persoalan. Supaya mereka yang terlibat nanti tidak sesal di kemudian hari. Berbaloikah jika disabitkan kesalahan dan dijatuhi mana-mana hukuman dari 11a – 11e seperti di atas hanya jika ditangkap membakar mercun?



Friday, August 21, 2009

Salam Ramadhan Al Mubarak

Selamat Berpuasa buat semua warga pelajar Dahlia 2. Kami barisan RS Dahlia 2 memohon ampun dan maaf atas setiap kesalahan dan kekurangan yang berlaku dalam kita berurusan. Semoga kita dapat sama mengharungi cabaran Ramadhan tahun ini dan meningkatkan amalan pada bulan yang mulia.

Sunday, August 16, 2009

Tahniah SIMBIOSIS

1. Syukur Alhamdulillah, Kumpulan KIK Dahlia 2 - Simbiosis telah menjadi Naib Johan Konvensyen KIK Pelajar UiTM Perak 2009.

2. Syabas dan tahniah kepada Saudara Khairul dan rakan-rakannya.

3. Kita juga memenangi anugerah sampingan iaitu Anugerah Dokumentasi Terbaik. Bukan mudah menawan hati juri melalui dokumentasi jika tidak betul-betul bagus dari aspek penulisan, persembahan mukataip dan susunan bahan. Inilah kekutan Simbiosis yang telah bekorban masa dan tenaga sejak sekian lama menyiapkan dokumentasi mereka.

4. Mungkin kita mengharapkan kemenangan yang lebih besar. Secara peribadi, saya juga menjangkakan kemenangan untuk beberapa kategori anugerah sampingan lain.

5. Tetapi kali ini rezeki kita hanya setakat ini.

6. Saya harap Simbiosis pasrah dan terima keputusan ini dengan berlapang dada. Kita cuba lagi di masa hadapan.

7. Dengan usaha yang lebih mantap dan pengalaman yang kita pelajari sejak beberapa konvensyen, saya yakin dan percaya kita mampu muncul JUARA.

8. Hanya masa yang akan menentukan.

Pemeriksaan Bilik Oleh Unit Pengurusan Kolej

1. Saya telah menerima salinan borang pemeriksaan bilik-bilik blok Dahlia 2 dari staf Unit Pengurusan Kolej Cempakasari.

2. Tebal salinannya, bermakna banyak bilik telah diperiksa.

3. Lebih tepat lagi, banyak kesalahan telah dilakukan di Dahlia 2.

4. Saya telah meneliti satu per satu salinan borang tersebut. Saya tahu secara teperinci apakah bentuk kesalahan yang dilakukan oleh pelajar Dahlia 2.

5. Antara yang boleh saya kongsikan termasuklah :

i. Tidak menutup suis kipas sewaktu bilik ditinggalkan
ii. Bilik dalam keadaan kotor
iii. Peralatan elektrik yang tidak didaftar
iv. Memiliki rokok
v. Memberi pelajar lain menumpang
vi. Dan banyak lagi

6. Sangat mendukacitakan bila kesalahan yang dilakukan oleh pelajar itu adalah kesalahan berulang yang telah kerap kali saya ingatkan.

7. Paling mendukacitakan saya selaku RS Dahlia 2 ialah kesalahan pelajar yang memiliki rokok. Saya telah huraikan panjang lebar bahawa UiTM adalah kawasan larangan merokok. Bermakna pelajar Dahlia 2 tidak menghormati ‘perjanjian’ yang telah kita persetujui. Perjanjian yang telah saya nyatakan setiap kali mesyuarat dan perjumpaan blok. Patut la masih ada putung rokok di sepanjang laluan aras 1, 2, 3 dan 4!

8. Lebih dari itu, saya kesal dengan beberapa pelajar di aras 3 Dahlia 2 yang memberi pelajar lain menumpang atau ‘setinggan’ di bilik mereka. Saya boleh nyatakan satu per satu bilik yang terlibat tetapi biarlah mereka yang berkenaan sedar sendiri. Pelajar setinggan tidak berkongsi aspirasi sebagai penghuni Dahlia 2 dengan saya selaku RS seperti mana anda penghuni yang sah. Justeru jika mereka merokok atau tidak menjaga kebersihan blok kita, mereka tidak akan rasa bersalah!

9. Mengapa ini semua berlaku? Adakah saya selaku RS telah gagal mendapat kerjasama dari pelajar Dahlia 2? Atau memang ada wujud pelajar Dahlia 2 yang tidak mahu mematuhi peraturan kolej dan nasihat yang telah saya sampaikan?

10. Saya harap pelajar semua muhasabah diri.

11. Kepada semua AJK Blok Dahlia 2. Panjangkan nasihat saya kepada rakan-rakan sekalian. Jika ada yang kurang bekerjasama, maklumkan segera pada saya.

12. Saya sebagai RS Dahlia 2 tidak mahu dilihat tiada peranan.

Wednesday, August 12, 2009

KIK Dahlia 2 - Kumpulan Simbiosis


1. Dalam usaha untuk mencapai tahap negara maju, memperluaskan budaya berinovasi dan kreatif secara berterusan adalah menjadi satu keperluan di kalangan modal insan di negara ini.

2. Salah satu usaha yang dianggap penting untuk merealisasikan hasrat ini adalah melalui aktiviti kumpulan kecil yang dikenali sebagai Kumpulan Kreatif dan Berinovatif (KIK) atau disebut Inovative & Creative Circle (ICC).

3. Program ICC (dahulunya dikenali sebagai QCC) telah mula diperkenalkan di Malaysia semenjak tahun 1982. Pada hari ini, ICC telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan di kalangan sektor awam dan perindustrian.

4. Ini terbukti dengan penglibatan yang sangat memberangsangkan dari kalangan mereka di dalam pelbagai latihan dan penyertaan dalam Konvensyen ICC di peringkat Mini, Wilayah dan Kebangsaan yang dianjurkan MPC setiap tahun.

5. Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) atau QCC mula diperkenalkan di UiTM sejak tahun 1985 sebagai mekanisma penyelesaian masalah kerja di jabatan. Mulai 2006, inisiatif kualiti ini diperkukuhkan kepada konsep Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) yang diperkenalkan oleh NPC pada tahun 2003 bagi menyemarak aktiviti penambahbaikan penyampaian perkhidmatan serta menyubur budaya kreatif dan inovatif dalam penciptaan nilai (value creation) serta break-through bagi menjana kegemilangan UiTM.
6. Dahlia 2 adalah antara blok yang sangat aktif dengan aktiviti KIK di UiTM Perak sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2007.

7. Pada konvensyen tahun ini yang bakal berlangsung pada 15 dan 16 Ogos 2009 (Sabtu dan Ahad), dengan kumpulan Simbiosis menggalas cabaran bagi pihak Dahlia 2.

8. Kumpulan Simbiosis diketuai oleh Saudara Khairul (berbaju jingga seperti gambar di atas). Samalah kita mendoakan kejayaan beliau dan rakan-rakannya pada konvensyen kali ini dan seterusnya merangkul gelaran Johan KIK Pelajar UiTM Perak 2009.

9. Warga Dahlia 2 sekalian, datanglah beramai-ramai memberikan sokongan.






Rakan-rakan KIK Dahlia 2 yang lain.




* Sumber laman web MPC




Tuesday, August 11, 2009

Selamat Datang Warga Dahlia 2

1. RS Dahlia 2 mengalu-alukan kehadiran pelawat ke laman blog ini.

2. Blog ini adalah salah satu medium komunikasi antara RS Dahlia 2 bersama warga pelajar yang menghuni di blok Dahlia 2 Kolej Cempaka sari dan masyarakat sekitar.

3. Semua aktiviti blog dan kolej yang berkaitan akan dimuat turun dan dikemaskini dalam blog ini. Tidak ketinggalan pengumuman dan makluman penting akan disampaikan kepada pelajar melalui laman ini.

4. Blog ini diselenggara oleh RS Dahlia 2.

5. Sebarang komen dan maklum balas adalah amat dialu-alukan.